Darah dalam Najis

Darah dalam najis bermaksud terdapat pendarahan di suatu bahagian saluran pencernaan anda. Walaupun ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak normal, puncanya boleh berbeza-beza, daripada keadaan yang lebih ringan seperti buasir atau rekahan dubur, hingga keadaan yang lebih serius seperti kanser kolorektal.

Apakah maksud darah dalam najis? Adakah ia tanda kanser?

Darah dalam najis merupakan tanda kemungkinan masalah pada kolon atau rektum. Najis yang normal tidak mengandungi darah. Punca yang paling biasa ialah buasir, juga dikenali sebagai piles. Punca lain yang sering berlaku termasuk:

  • Rekahan dubur (Anal fissure) – koyakan kecil pada lapisan dubur
  • Divertikulosis – kantung kecil yang terbentuk pada saluran pencernaan. Jika kantung ini meradang atau dijangkiti, keadaan tersebut dikenali sebagai divertikulitis
  • Penyakit radang usus
  • Proktitis – keradangan pada rektum dan dubur
  • Angiodisplasia – pembesaran atau pembengkakan saluran darah dalam kolon yang boleh menyebabkan pendarahan
  • Kolitis – keradangan pada lapisan dalam kolon
  • Polip – gumpalan kecil sel pada lapisan kolon yang boleh menyebabkan pendarahan
  • Kanser kolorektal – tumor pada esofagus, perut, kolon atau rektum boleh melemahkan lapisan saluran pencernaan dan menyebabkan pendarahan

Sukar untuk membezakan keadaan-keadaan ini hanya berdasarkan gejala. Walaupun buasir adalah punca yang paling biasa, darah dalam najis tetap perlu diberi perhatian kerana ia juga boleh menjadi tanda kanser kolorektal, yang merupakan salah satu kanser yang paling kerap berlaku di Singapura.

Bilakah saya perlu bimbang dan berjumpa doktor?

Anda perlu mendapatkan nasihat doktor apabila melihat darah dalam najis kerana keadaan ini tidak normal. Doktor akan melakukan pemeriksaan dan mungkin merujuk anda kepada pakar untuk menentukan punca pendarahan. Kebanyakan punca pendarahan boleh dirawat dengan ubat-ubatan, dan dalam sesetengah keadaan mungkin memerlukan pembedahan.

Apakah yang akan dilakukan oleh doktor untuk membuat diagnosis?

Doktor biasanya akan melakukan prosedur di klinik yang dikenali sebagai proktoskopi, iaitu pemeriksaan pada rektum dan dubur untuk mengenal pasti keadaan seperti buasir atau rekahan dubur. Walaupun buasir ditemui semasa proktoskopi, bahagian lain kolon dan rektum masih perlu diperiksa untuk menentukan punca sebenar pendarahan.

Oleh itu, kebanyakan doktor akan merujuk pesakit kepada pakar untuk menjalani kolonoskopi. Kolonoskopi dianggap sebagai kaedah “gold standard” untuk menilai keseluruhan kolon dan rektum. Kelebihan utama kolonoskopi ialah ia boleh digunakan untuk diagnosis dan juga rawatan. Sebagai contoh, doktor boleh mengambil biopsi daripada tisu yang tidak normal untuk pemeriksaan lanjut, dan polip juga boleh dibuang semasa prosedur tersebut.

Bagaimana saya boleh mencegah darah dalam najis?

Jika punca pendarahan disahkan hanya disebabkan oleh buisir (punca yang paling biasa), beberapa perubahan gaya hidup boleh membantu.

Ambil serat yang mencukupi, minum air yang banyak dan lakukan senaman secara berkala. Ini dapat membantu mencegah sembelit dan mengurangkan tekanan semasa membuang air besar. Hadkan masa di tandas kepada sekitar 5 hingga 10 minit dan elakkan membawa telefon bimbit ke tandas. Tempoh duduk yang terlalu lama di tandas boleh memburukkan buasir.